Monday, January 20, 2020

5. SAHABAT SETIA

Sahabat
Istilahmu memang keramat
Ramai yang berhasrat
Mendampinginya sepanjang hayat
Tapi semakin kita cuba mendapat
Bertemunya semakin lambat

Ramai pula yang berkata
Seribu teman boleh bersua
Mencari sahabat sukar dijumpa
Realitinya kehidupan kita
Sedikit pun sukar untuk bersama
Dan ada ketikanya
Seorang sahabat pun tidak ada

Setelah sekian lama diperhatikan

Masih juga tiada jawapan
Hidup manusia banyak pengalaman
Marilah kita membuat rumusan
Sahabat itu bukan di hadapan
Dia berada dalam badan

Sayangkanlah badan kita
Yang menjadi sahabat setia
Jagalah makan setiap masa
Jagalah tidur supaya lena
Jauhilah stress agar bahagia
Selalu bersenam semoga ceria
Sihatnya sahabat sihatlah kita

-Wan Nazarie
Semenyih
19/1/2020

Wednesday, January 15, 2020

4. KEZALIMAN SUAMI

Kita sering melihat kezaliman itu
Dilakukan oleh pemerintah negara
Oleh pembesar dalam masyarakat
Oleh penguasa dalam kumpulan
Mereka menjadi tumpuan kita
Untuk dilihat tentang keadilannya
Tentang kezaliman mereka
Setiap hari ada sahaja kesilapan 
Zalim itu pastinya berdosa
Adil itu pahala

Namun kita sering tidak melihat
Kezaliman lelaki bergelar suami
Mereka memliki kuasa besar
Kuasa menguasai isteri dan anak
Kuasa diberi untuk menjaga dengan adil
Menjaga dengan penuh kasih sayang
Berbicara dengan bijaksana
Kuasa mendidik anak isteri menjadi berguna
Membangun mereka dengan kesabaran
Menjadikan sebuah keluarga bahagia

Tapi sayang sang lelaki bernama suami
Ramai juga yang tidak mengerti
Dan sengaja tidak mengerti
Walaupun ilmu penuh di dada
Walaupun harta melimpah ruah
Walaupun berpangkat tinggi menggunung
Menjadikan kuasa mereka pada jalan yang sasur
Mengambil kesempatan pada yang lemah
Menzalimi sehingga isteri dan anak tertekan
Suami juga harus mengerti apa itu kezaliman

-Wan Nazarie
15/1/2020
Semenyih

Saturday, January 11, 2020

3. KEJUJURAN

Kejujuran membentuk peribadi
Dipupuk ketika kecil lagi
Disemai dalam hati
Jangan dihenti
Jangan dimati
Biar kekal dalam diri
Menjadi prinsip abadi

Berkata benar bila berbicara
Walaupun pahit hendak bersuara
Teruskan saja kuatkan jiwa
Di mana jua langkah berada
Kejujuran tetap di dada
Bagaikan batu permata
Bercahaya sepanjang masa

Bila kejujuran sudah hilang
Kebenaran tidak lagi dipegang
Kepercayaan habis melayang
Tiada siapa boleh menghalang
Melihat maruah yang terbang
Nilai diri di tahap malang
Bila diamal perkara dilarang

-Wan Nazarie
Kota Bharu
14/12/2019

2. PUTARAN

Kita sentiasa mencari
Erti kehidupan diri
Yang tidak pernah lari
Daripada putaran hukum Ilahi
Hari ini kita senang hati
Gembira tidak terperi
Terus dilimpahi rezeki
Ke mana saja boleh pergi
Makan minum sudah tersaji
Pakaian penuh dalam almari
Wang tidak terkira lagi
Sering tersenyum sendiri

Kadang kita terlupa
Hukum Tuhan sudah pun ada
Hidup itu putaran yang nyata
Hari ini kita bergembira
Esok lusa kita berduka
Kerana kita selalu terleka
Dalam lautan harta
Selebat hujan pun reda juga
Harta berlimpah cuma sementara
Tiada kekal selamanya
Beringat sebelum kena
Berbahagi sepanjang masa

-Wan Nazarie
Kota Bharu
12/12/2019

1. NILAI KEBEBASAN

Waktu bebas kita lupa
Terselit nilai tinggi begitu berharga
Erti kebebasan bagaikan tiada
Menghirup udara yang percuma
Ke mana langkah hati gembira
Dalam keriangan hati dinoda
Tamak haloba tersemai di dada
Ada peluang terus meraba
Mendakap harta kepunyaan negara

Tiba-tiba kita terperangkap
Langit cerah pun bertukar gelap
Dalam bangunan banyak bertingkap
Jerjak besi tak mampu bercakap
Kebebasan pergi begitu cepat
Baru terasa nilainya hebat
Segalanya sudah terlambat
Ada ruang tak mahu bertaubat
Kebebasan kini sudah tersekat

Hanya kesabaran menjadi teman
Makan minum tiada pilihan
Bertemu keluarga tiada sentuhan
Telefon genggam sudah tersimpan
Setiap pergerakan dalam pengawasan
Tidur malam banyak igauan
Penjara memberi pengajaran
Jauhkan diri dari ketamakan
Nilai kebebasan tiada bandingan

-Wan Nazarie
8/12/2019
Semenyih