Monday, July 12, 2021

11. IBU DAN AYAH RELA BERKORBAN

Ibu bersabar menanggung kandungan
Ibu yang kesakitan anak pula yang ketangisan
Saat yang sama ayah dalam kegembiraan
Dalam gembira ada kepedihan
Mengikat perut buat simpanan
Jangan dibiar susu kehabisan
Walaupun perit rela berkorban

Ketika anak-anak kecil membesar
Gaji ayah setara seorang buruh kasar
Kerja ibu setiap pagi membeli di pasar
Membawa wang hanya sekadar
Belanja yang tinggi hidup di bandar
Waktu malam sibuk mengajar
Biar anak suka belajar

Bila anak melangkah dewasa
Punyai pasangan cantik di mata
Penghidupan baru bersama keluarga
Hidup bahagia harapan bersama
Ibu dan ayah selalu berdoa
Semoga hidup dilimpahi bahagia
Eratkan hubungan biar pun jauh di mata

Ibu dan ayah semakin tua
Rumah berbilik cuma berdua
Harapkan anak datang seketika
Penat dan lelah lama menjaga
Terus menghilang saat bersua
Anak berbudi ingatkan jasa
Anak yang lupa tak peduli siapa

-Wan Nazarie
11/7/2021
Semenyih

Sunday, January 3, 2021

10. DIKENANG BUKAN KERANA KUASA

Bersara hanya istilah dalam bekerja
Cuma tidak lagi bersama kerajaan atau swasta
Tetapi di rumah tetap banyak kerja
Pesara sudah tidak lagi berkuasa
Pangkat yang ada menjadi kenangan sahaja
Disambut dan dirai jangan hendak lagi merasa
Kita dikenang bukan kerana kuasa
Tetapi kebaikan yang kita kongsi bersama
Pada ketika kita berkuasa

-Wan Nazarie
Semenyih
3/1/2021

Wednesday, November 11, 2020

9. WAHAI ANAK-ANAK

Wahai anak-anak kurniaan Ilahi
Lahirnya kamu amat dinanti
Tangisanmu menggegarkan bumi
Ibubapa gembira tidak terperi
Kamu dijaga dengan rapi
Gerak gerimu sentiasa diperhati
Setiap masa kamu disusui

Masa membesar tidaklah lama
Sekolah rendah ilmu bermula
Sekolah menengah menanam cita-cita
Universiti pula terarah kerjaya
Habis pengajian mencari kerja
Ada jodoh jadilah ibu atau bapa
Hidup bahagia harapan keluarga

Dari kecil hingga berdikari
Ibubapa sangat mensyukuri
Atas apa yang kamu nikmati
Tidak perlu balas apa kepada kami
Meminta harta tidak sekali
Silaturrahim jangan tidak peduli
Kamu bahagia kami senang hati

-Wan Nazarie
11/11/2020
Semenyih

8. MAHU WANG BERJUTA

Siapa yang tidak mahu wang berjuta
Pelbagai cara untuk memilikinya
Mulakan segera dengan berusaha
Perancangan teliti langkah bermula
Impian di hati sentiasa di minda
Perjalanan dilalui tentu bergelora
Onak dan duri di mana sahaja
Usah pedulikan rintangan berjela

Terus harungi mengejar cita-cita
Jangan diundur kerana kecewa
Teruskan azam mahu berjaya
Pada Tuhan memohon doa
Supaya dipermudah segala usaha
Kejayaan dinikmati kerana berusaha
Kegagalan dirasai kerana putus asa
Usaha dan doa jalan bersama

-Wan Nazarie
6/11/2020
Semenyih

Thursday, March 26, 2020

7. COVID-19

Covid-19 atau virus Corona muncul di China
Wilayah Wuhan tempat jangkitan pertama
Kini merebak ke seluruh dunia
Belum dipasti siapa atau apa menjadi pembawa
Banyak pendapat dari serata dunia
Mengulas dari mana virus itu berpunca
Ada yang kata kelawar yang membawa
Ada yang kata tikus yang dimakan manusia
Ada yang kata virus itu ciptaan manusia
Ada yang kata mulanya dari Kanada
Apa pun kita masih menunggu fakta

Di saat kita menanti
Covid-19 mengganas setiap hari
Tidak mengenal siapa untuk dihinggapi
Hari-hari ramai yang mati
Hospital dikawal rapi
Doktor dan staff bertugas bagai nak mati
Merawat pesakit untuk diubati
Juga mengawal dari dijangkiti
Vaksin atau ubat penawar belum ditemui
Sama-sama memohon doa pada Illahi
Agar vaksin ditemui untuk pesakit dirawati

-Wan Nazarie
26/3/2020
Semenyih


6. STRESS MENGHILANG

Rasa kecewa dan sedihnya hati
Di saat berjawatan tinggi
Semangat kerja masih berapi-api
Tiba-tiba suatu pagi yang tidak dinanti
Yang tidak pernah termimpi
Tanggal 25 Februari 2011 yang diingati
Jawatan aku sudah dibawa pergi
Diserah kepada orang yang disenangi

Dalam kecewa ku pohon doa pada Tuhan
Diberi kesabaran menangani perasaan
Kekuatan dalam segala tindakan
Keredhaan menerima kenyataan
Lantas aku cepat-cepat mencari jalan
Tidak mahu stress berpanjangan
Takut nanti murung menjadi gantian
Syukur pada Ilahi tunjukkan jalan

Setelah berbincang dengan isteri
Cuti diambil beberapa hari
Mencari jalan menguatkan hati
Kawan ku ajak temani mendaki
Menawan Gunung Datuk yang tinggi
Dua kali mendaki dalam sehari
Selama tiga hari tiada henti
Stress menghilang semangat pulih kembali

-Wan Nazarie
29/2/2020
Gunung Datuk
Negeri Sembilan

Monday, January 20, 2020

5. SAHABAT SETIA

Sahabat
Istilahmu memang keramat
Ramai yang berhasrat
Mendampinginya sepanjang hayat
Tapi semakin kita cuba mendapat
Bertemunya semakin lambat

Ramai pula yang berkata
Seribu teman boleh bersua
Mencari sahabat sukar dijumpa
Realitinya kehidupan kita
Sedikit pun sukar untuk bersama
Dan ada ketikanya
Seorang sahabat pun tidak ada

Setelah sekian lama diperhatikan

Masih juga tiada jawapan
Hidup manusia banyak pengalaman
Marilah kita membuat rumusan
Sahabat itu bukan di hadapan
Dia berada dalam badan

Sayangkanlah badan kita
Yang menjadi sahabat setia
Jagalah makan setiap masa
Jagalah tidur supaya lena
Jauhilah stress agar bahagia
Selalu bersenam semoga ceria
Sihatnya sahabat sihatlah kita

-Wan Nazarie
Semenyih
19/1/2020

Wednesday, January 15, 2020

4. KEZALIMAN SUAMI

Kita sering melihat kezaliman itu
Dilakukan oleh pemerintah negara
Oleh pembesar dalam masyarakat
Oleh penguasa dalam kumpulan
Mereka menjadi tumpuan kita
Untuk dilihat tentang keadilannya
Tentang kezaliman mereka
Setiap hari ada sahaja kesilapan 
Zalim itu pastinya berdosa
Adil itu pahala

Namun kita sering tidak melihat
Kezaliman lelaki bergelar suami
Mereka memliki kuasa besar
Kuasa menguasai isteri dan anak
Kuasa diberi untuk menjaga dengan adil
Menjaga dengan penuh kasih sayang
Berbicara dengan bijaksana
Kuasa mendidik anak isteri menjadi berguna
Membangun mereka dengan kesabaran
Menjadikan sebuah keluarga bahagia

Tapi sayang sang lelaki bernama suami
Ramai juga yang tidak mengerti
Dan sengaja tidak mengerti
Walaupun ilmu penuh di dada
Walaupun harta melimpah ruah
Walaupun berpangkat tinggi menggunung
Menjadikan kuasa mereka pada jalan yang sasur
Mengambil kesempatan pada yang lemah
Menzalimi sehingga isteri dan anak tertekan
Suami juga harus mengerti apa itu kezaliman

-Wan Nazarie
15/1/2020
Semenyih

Saturday, January 11, 2020

3. KEJUJURAN

Kejujuran membentuk peribadi
Dipupuk ketika kecil lagi
Disemai dalam hati
Jangan dihenti
Jangan dimati
Biar kekal dalam diri
Menjadi prinsip abadi

Berkata benar bila berbicara
Walaupun pahit hendak bersuara
Teruskan saja kuatkan jiwa
Di mana jua langkah berada
Kejujuran tetap di dada
Bagaikan batu permata
Bercahaya sepanjang masa

Bila kejujuran sudah hilang
Kebenaran tidak lagi dipegang
Kepercayaan habis melayang
Tiada siapa boleh menghalang
Melihat maruah yang terbang
Nilai diri di tahap malang
Bila diamal perkara dilarang

-Wan Nazarie
Kota Bharu
14/12/2019

2. PUTARAN

Kita sentiasa mencari
Erti kehidupan diri
Yang tidak pernah lari
Daripada putaran hukum Ilahi
Hari ini kita senang hati
Gembira tidak terperi
Terus dilimpahi rezeki
Ke mana saja boleh pergi
Makan minum sudah tersaji
Pakaian penuh dalam almari
Wang tidak terkira lagi
Sering tersenyum sendiri

Kadang kita terlupa
Hukum Tuhan sudah pun ada
Hidup itu putaran yang nyata
Hari ini kita bergembira
Esok lusa kita berduka
Kerana kita selalu terleka
Dalam lautan harta
Selebat hujan pun reda juga
Harta berlimpah cuma sementara
Tiada kekal selamanya
Beringat sebelum kena
Berbahagi sepanjang masa

-Wan Nazarie
Kota Bharu
12/12/2019

1. NILAI KEBEBASAN

Waktu bebas kita lupa
Terselit nilai tinggi begitu berharga
Erti kebebasan bagaikan tiada
Menghirup udara yang percuma
Ke mana langkah hati gembira
Dalam keriangan hati dinoda
Tamak haloba tersemai di dada
Ada peluang terus meraba
Mendakap harta kepunyaan negara

Tiba-tiba kita terperangkap
Langit cerah pun bertukar gelap
Dalam bangunan banyak bertingkap
Jerjak besi tak mampu bercakap
Kebebasan pergi begitu cepat
Baru terasa nilainya hebat
Segalanya sudah terlambat
Ada ruang tak mahu bertaubat
Kebebasan kini sudah tersekat

Hanya kesabaran menjadi teman
Makan minum tiada pilihan
Bertemu keluarga tiada sentuhan
Telefon genggam sudah tersimpan
Setiap pergerakan dalam pengawasan
Tidur malam banyak igauan
Penjara memberi pengajaran
Jauhkan diri dari ketamakan
Nilai kebebasan tiada bandingan

-Wan Nazarie
8/12/2019
Semenyih